RANCANG aktiviti untuk anak-anak antara salah satu pendekatan bagi memastikan permata hati tidak berasa bosan sepanjang cuti persekolahan yang panjang.
Sama ada dengan melakukan aktiviti menyeronokkan di rumah, bercuti ke lokasi percutian menarik atau balik kampung. Pastinya suasana ini akan memberi kegembiraan kepada anak-anak kerana waktu inilah mereka bebas melakukan aktiviti tanpa terikat dengan jadual waktu belajar yang padat.
Selain aktiviti tersebut, bagi sesetengah ibu bapa mereka mahukan anak-anak menyertai kem cuti sekolah sama ada yang berbentuk kerohanian atau jati diri demi memastikan masa anak terisi dengan aktiviti bermanfaat. Ada juga segelintir ibu bapa yang menghantar anak ke kelas intensif akademik.
Walau apa sahaja keputusan yang dibuat, ibu bapa pasti mempunyai perancangan tersendiri dan mereka tahu keupayaan anak masing-masing.
Tidak hanya merancang aktiviti untuk anak semata-mata, ibu bapa juga harus berkorban masa dengan mengambil cuti. Apa salahnya tinggalkan kerja di pejabat buat sementara waktu.
Eratkan hubungan kekeluargaan
Ibu bapa harus tahu kesibukan boleh menyebabkan anak-anak terabai dan mereka akan mencari alternatif untuk menggembirakan hati dan mengisi masa lapang. Malah penggunaan internet secara tidak terkawal membuka ruang kepada anak meneroka dunia mereka sendiri.
Jadi waktu sebeginilah hubungan keluarga boleh dipererat kerana hari-hari biasa mungkin sibuk dengan tuntutan kerja manakala anak pula letih setelah seharian di sekolah.
Oleh itu, ibu bapa harus bijak membahagikan masa antara kerja dengan anak-anak. Usah jadikan sibuk sebagai alasan untuk membiarkan anak-anak mencari masa sendiri.
Sebenarnya cabaran membesarkan anak sama sahaja di bandar atau luar bandar cuma yang membezakan adalah pendekatan yang kita terapkan kepada mereka.
Selain memenuhi cuti anak-anak dengan aktiviti, anda boleh cuba jadikan waktu cuti sebagai pengalaman yang menyeronokkan dengan mengajar anak berdikari.
Apa salahnya jika memberi peluang kepada anak-anak yang sudah besar dan boleh menguruskan diri sendiri dengan mengajar mereka membuat kerja-kerja rumah. Cipta aktiviti untuk mereka dengan mengasah bakat dalam bidang masakan, membuat kraf tangan atau bercucuk tanam.
Paling utama jadikan cuti sekolah sebagai masa terbaik untuk menambah kasih sayang dalam keluarga antara ibu bapa dan anak-anak. Jadikan waktu ini sebagai masa yang dinanti-nantikan untuk manfaat seluruh ahli keluarga.
No comments:
Post a Comment