Monday 29 May 2017

TIPS BERJAYA DALAM KELAS DAN PEPERIKSAAN

Berikut ini disenaraikan 7 kaedah belajar yang berkesan untuk membantu murid-murid berjaya dalam kelas dan peperiksaan. 



Pertama – Hargai Masa

Seorang murid yang cemerlang menggunakan masa yang terluang, masa pertukaran kelas, masa menunggu ibubapa serta masa sebelum hidangan makanan. 

Membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah dibaca. 


Kedua – Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi 

Amalkan sikap membawa buku setiap masa. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa, tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. 

Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran. 



Ketiga – Gunakan masa awal pagi 

Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Bersemangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya. 


Keempat – Buat nota ringkas
 
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. 

Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah. 


Kelima – Mengikut jadual sepenuhnya 

Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaja buku dan membacanya. 

Jika anda mempunyai disiplin yang kuat, anda tidak akan lalai terhadap tanggungjawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran. 


Keenam – Menjawab soalan lepas

Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawab contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. 


Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh 

Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akan dilakukan.

Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang. 


Kesimpulan Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga lembaran ini menguatkan semangat anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.


No comments:

Post a Comment