Monday 1 January 2018

PERUTUSAN PENGARAH PENDIDIKAN TERENGGANU SEMPENA SESI PERSEKOLAHAN 2018


PERUTUSAN PENGARAH PENDIDIKAN TERENGGANU
SEMPENA SESI PERSEKOLAHAN 2018

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera kepada semua warga pendidikan negeri Terengganu.
Alhamdulillah pertamanya marilah sama-sama kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya kita dikurniakan peluang untuk melangkah ke tahun 2018. Kita bersyukur kerana kita termasuk dalam kalangan  mereka yang sentiasa insaf, peka dan prihatin akan waktu yang datang dan pergi dan sentiasa berusaha  menggunakan sebaik-baiknya untuk manfaat kita bersama-sama.

Sesungguhnya, walaupun tahun 2017 telah dilalui dalam suasana penuh mancabar, namun dari segi kemenjadian pendidikan kita telah diwarnai dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang membanggakan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Saya yakin dan percaya semua pencapaian ini merupakan natijah kepada curahan keringat, usaha yang bersungguh-sungguh, komitmen penuh ikhlas dan kerjasama erat dalam kalangan seluruh warga pendidikan. Kita juga tidak melupakan sokongan padu kerajaan negeri Terengganu melalui prinsip Memperkasakan Pendidikan melalui agenda Transformasi Terengganu Baharu. Kita telah membuktikan bahawa kita mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk mengharungi cabaran seterusnya pada tahun-tahun yang mendatang.

Semua guru Terengganu yang dihormati, marilah kita menggembeleng sumber, tenaga, kerjasama padu dan keyakinan bahawa amanah yang kita pikul ini demi membina kekuatan dan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Kita perlu sedar akan hakikat bahawa, kita menghadapi cabaran dan lanskap pendidikan, lantaran perubahan dalam sistem pendidikan. Bagi mengimbangi beban tugas guru yang semakin mencabar, pendidikan Terengganu telah menjadi negeri rintis eRPH iaitu Rancangan Pengajaran Harian Bentuk Softcopy bagi memudahkan guru menulis rancangan harian. Jabatan Pendidikan Terengganu akan sentiasa berusaha mencari pelbagai inovasi demi menjaga kebajikan guru-guru.

Selaku peneraju utama kepemimpinan pendidikan negeri, saya mengajak seluruh warga pendidikan untuk terus fokus dalam Memperkasakan Transformasi Pendidikan bagi memperkukuhkan pencapaian dalam semua aspek. Marilah kita meletakkan negeri Terengganu terus tersohor di peringkat antarabangsa untuk tahun 2018 dan tahun-tahun akan datang. Lantaran itu, kita hendaklah perkukuhkan perpaduan, memantapkan kolaborasi yang produktif, membudayakan inovasi dan berdoa agar kita terus diberikan kekuatan dan keupayaan serta dapat menyempurnakan segala amanah yang telah diberikan ini dengan sebaik mungkin. Guru-guru Terengganu yang hebat lagi budiman, marilah kita bekerja mengikut Operasi Prosedur Standard supaya tindakan kita betul dan tepat dalam menangani pelbagai masalah pendidikan khasnya yang melibatkan karenah murid-murid. Pada masa yang sama, saya menyeru agar PIBG memainkan peranan berkesan dalam menangani isu-isu yang melibatkan masyarakat dan guru. Hal ini penting bagi mengelakkan salah faham dan ketegangan antara guru dan ibu bapa.

Semua warga pendidikan yang dihormati, insya-Allah tahun 2018 akan dikurniakan kejayaan dan pencapaian yang lebih cemerlang demi anak didik yang tercinta  sejajar dengan hasrat kita melahirkan murid Gen-T.
Selamat Tahun Bahru 2018 dan Selamat Maju Jaya

HAJI SHAFRUDDIN BIN HAJI ALI HUSSIN P.J.C.,P.J.K
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu

No comments:

Post a Comment